Wednesday, 29 August 2012

PRINSIP-PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

 
1.0         PENGENALAN
Sifat manusia pada asasnya dikawal dan dipengaruhi oleh tumbesaran dan perkembangan mereka sendiri. Perubahan yang ketara berlaku dalam tumbesaran dan perkembangan sejak kanak-kanak dilahirkan sehinggalah ke zaman remaja. Iaitu ketika umur mereka dalam lingkungan 18 tahun.
        Konsep tumbesaran dan perkembangan boleh dikaji daripada seseorang kanak-kanak yang membesar secara fizikal yang juga akan membina kualiti kelakuan dan personalitinya. Ini dapat dikategorikan kepada empat komponen iaitu perkembangan fizikal, kognitif, afektif dan psikologi serta perkembangan sosial.
        Tumbesaran dapat didefinisikan sebagai perubahan-perubahan fizikal atau perubahan-perubahan kuantitatif yang berlaku di dalam seseorang individu. Contohnya, seseorang individu bertambah besar dari segi saiz dan berat badan dari bayi hingga dewasa.
          Perkembangan pula didefinisikan  sebagai perubahan berterusan yang berlaku dalam pola kelakuan, kebolehan mental dan personality seseorang individu hingga matang. Perubahan-perubahan ini adalah kualitatif, melibatkan kecerdasan, kemahiran dan sikap yang berlaku secara progresif di dalam seseorang individu. Contohnya, seiring dengan tumbesaran otak, kebolehan mental semakin berkembang.
           Maka terdapat ciri-ciri atau prinsip-prinsip tertentu yang menentukan tumbesaran dan perkembangan. Pemahaman terhadap prinsip-prinsip yang akan saya jelaskan lebih terperinci di bawah nanti dapat membantu guru-guru menangani kelakuan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

PRINSIP-PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

Bercakap sahaja mengenai pertumbuhan dan perkembangan ramai lagi ibu bapa yang masih keliru tentang perbezaan kedua-dua prinsip ini. Sebenarnya, kebanyakan kanak-kanak di Malaysia yang normal bertumbuh dan berkembang berdasarkan prinsip-prinsip dan ciri-ciri yang sejagat (serupa). Walaubagaimanapun akan terdapat perbezaan di antara individu-individu dalam personaliti, tahap aktiviti dan masa pertumbuhan dan perkembangan. Oleh yang demikian, beberapa ahli psikologi pendidikan telahpun mengenal pasti prinsip-prinsip pertumbuhan dan perkembangan. Dalam huraian seterusnya saya akan menerangkan lebih lanjut tujuh  prinsip-prinsip utama pertumbuhan dan perkembangan mengikut pendapat ahli psikologi Ruffin (2001) yang berguna kepada guru-guru. 
 
1 Prinsip pertama, perkembangan kanak-kanak berlangsung dari kepala ke bawah (dari atas ke bawah)  ’ cephalocaudal’.
Ini bermaksud kanak-kanak pada dasarnya akan mula mengawal diri mulai dengan kawalan di bahagian kepala. Kepala kanak-kanak kecil biasanya berat kerana perkembangan sudah banyak berlaku di bahagian kepala dibandingkan dengan bahagian lain misalnya, bahagian kaki. Ini kerana apabila kanak-kanak ditiarapkan, dia hanya dapat mengangkat dadanya apabila ia dapat mengangkat kepalanya. Kemudian kawalan di bahagian tangan di mana mereka mempelajari  untuk memegang objek-objek. Kemudian mereka akan membina kekuatan dan kawalan pada bahagian kaki dan bermula untuk merangkak, berdiri dan berjalan. 
  
Rajah 1: Perkembangan kanak-kanak berlangsung dari kepala ke bawah (dari atas ke bawah)  ’ cephalocaudal’.

Prinsip kedua, perkembangan kanak-kanak berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar (tengah ke tepi) ‘proximodistal ‘ dan hingga ke hujung anggota.
Saraf tunjang berkembang dahulu daripada bahagian-bahagian badan yang lain. Sewaktu di dalam kandungan, iaitu ketika bahagian kepala dan badan sudah dikatakan cukup terbentuk, bahagian anggota kaki dan tangan hanya merupakan puntung-puntung yang belum tumbuh. Secara beransur-ansur, puntung tangan ini akan memanjang dan berkembang menjadi tangan dan jari. Contohnya, bahagian lengan kanak-kanak berkembang dahulu daripada bahagian telapak tangan dan bahagian tangan dan kaki  berkembang dahulu daripada jari-jari tangan dan kaki.


Rajah 2: Perkembangan kanak-kanak berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar (tengah ke tepi) ‘proximodistal ‘ dan hingga ke hujung anggota.

3 Prinsip ketiga, perkembangan kanak-kanak bergantung kepada kematangan dan pembelajaran yang ada dipersekitaran mereka.
Kanak-kanak akan bertambah baik dalam pemikiran (kognitif) dan kemahiran psikomotor (fizikal) mereka apabila otak dan sistem saraf berkembang dengan pembelajaran baru yang berterusan daripada persekitaran. Kanak-kanak mesti matang ke satu tahap tertentu sebelum mereka dapat memperoleh kemahiran baru. Contohnya, seorang bayi empat bulan tidak boleh berbahasa kerana sel-sel otak bayi untuk bahasa belum matang lagi.
            Kematangan di sini merujuk kepada apa-apa sahaja perubahan yang berlaku dengan perubahan umur yang bergantung pada tumbesaran fizikal. Pola kematangan telah terprogram oleh keturunan, urutan perubahan badan adalah seragam di antara individu-individu walaubagaimnapun, terdapat perbezaan dalam kadar perubahan. Kematangan bebas daripada faktor-faktor lain, dan ia menyebabkan perubahan fizikal seperti baligh, putus haid, keguguran rambut dan kebotakan.

Rajah 3: Perkembangan kanak-kanak bergantung kepada kematangan dan pembelajaran yang ada dipersekitaran mereka.

4 Prinsip keempat, perkembangan kanak-kanak berlangsung daripada mudah (konkrit) kepada yang lebih kompleks.
Kanak-kanak hanya boleh memahami contoh-contoh konkrit (barang maujud) semasa awal kanak-kanak. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang abstrak dan kompleks apabila mencapai zaman keremajaan. Kanak-kanak menggunakan kemahiran kognitif dan bahasa yang mudah dalam zaman awal kanak-kanak untuk memberi sebab-musabab dan menyelesaikan masalah. Selepas itu, kuasa penghujahan mereka bertambah baik kerana ketika itu mereka sudah boleh membezakan dan mengklasifikasikan objek-objek.

Rajah 4: Perkembangan kanak-kanak berlangsung daripada mudah (konkrit) kepada yang lebih kompleks.

5 Prinsip kelima, tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berterusan.
Kanak-kanak membina pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru berdasarkan apa yang mereka telah ketahui atau peroleh, iaitu berdasarkan pengetahuan yang lalu. Seperti blok binaan, kanak-kanak membina dan mengumpul pengetahuan beransur-ansur, sedikit demi sedikit. Contohnya, di dalam permainan badminton, seseorang murid yang tidak pandai melakukan servis dengan, tetapi apabila dia belajar daripada guru dan rakan-rakannya akhirnya dapat juga menguasai kemahiran tersebut walaupun mengambil masa yang lama untuk menguasai kemahiran tersebut.

Rajah 5: Tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berterusan.

Semua kanak-kanak mengikut pola perkembangan yang serupa. Satu peringkat perkembangan menjadi asas kepada peringkat perkembangan yang seterusnya. Contohnya, kanak-kanak mesti sudah pandai mengawal pergerakan tangan untuk memegang pensil atau krayon sebelum mereka dapat melukis atau menulis.
  
            Rajah 6: kanak-kanak belajar memegang pen dan mewarna

6 Prinsip keenam, tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak berlangsung daripada umum ke spesifik (khusus).
Dalam perkembangan motor, kanak-kanak mestilah sudah boleh mengenggam objek dengan keseluruhan tangan (psikomotor kasar) baharulah mereka boleh belajar menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sahaja (psikomotor halus). Tumbesaran berlaku daripada pergerakan otot besar kepada pergerakan otot yang lebih seni (kecil).
Contohnya, jika seseorang bayi cuba mengambil sesuatu benda, hampir seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangannya kerana jarinya masih belum dapat digunakan. Selepas besar, pergerakan bagi mengambil sesuatu benda hanya memerlukan jari sahaja tanpa menggerakkan sebahagian besar badannya.

Rajah 7: Kanak-kanak menggunakan kemahiran psikomotor kasar dan seterusnya psikomotor halus.

Contoh perkembangan yang lain pula apabila bayi menangis kemudiannya berfokus kepada sebab yang khusus seperti menangis kerana lapar, kerana lampin basah atau ketidakselesaan fizikal.

7 Prinsip yang terakhir yang ketujuh adalah kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan kadar tumbesaran mereka juga adalah berbeza-beza. Walaupun pola,  urutan tumbesaran dan perkembangan adalah serupa bagi semua kanak-kanak, tetapi kadar pencapaian peringkat tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza. Terdapat satu julat umur bagi setiap tugas perkembangan untuk berlaku. Walau bagaimanapun, ianya tidak seragam di dalam diri seseorang individu kanak-kanak.


Bil.
Peringkat
Umur
1.
Peringkat Pralahir
Dalam kandungan hingga lahir
2.
Peringkat Bayi
0-2 tahun
3.
Peringkat awal kanak-kanak
2-4 tahun
4.
Peringkat pra sekolah
4-6 tahun
5.
Peringkat kanak-kanak  
pertengahan
6-12 tahun
6.
Peringkat awal remaja
12-15 tahun
7.
Peringkat remaja pertengahan
dan akhir
15-22 tahun
8.
Peringkat dewasa awal
21-34 tahun
9.
Peringkat dewasa pertengahan
34-59 tahun
10.
Peringkat dewasa akhir
60- 75 tahun
11
Peringkat tua
75 tahun ke atas
Menurut Newman, PR. Dan Newman BM. 1997 tahap perkembangan manusia bermula dari pralahir hingga mati.

Contoh 1, Perkembangan intelek seseorang kanak-kanak mungkin maju lebih cepat daripada perkembangan emosi dan sosialnya. Iaitu ada segelintir kanak-kanak suka membaca buku daripada bermain bersama kawan-kawan seumurnya.
 
Contoh 2, Tingkah laku kanak-kanak yang berumur 7-12 bulan akan mencapai kebolehan merangkak, duduk, berdiri, bertatih dan berjalan.

 
Irfan    = Boleh merangkak               Bertatih                Berjalan
                        (7 bulan)                    (9 bulan)                   (12 bulan)

Iffah    = Boleh merangkak               Bertatih                Berjalan
                        (8 bulan)                    (10 bulan)                 (13 bulan)

 
Ini bermakna corak perkembangan bayi adalah sama daripada satu peringkat ke peringkat yang lain. Sebelum berjalan, lazimnya seorang kanak-kanak berdiri atau mula belajar bertatih terlebih dahulu. Corak yang lazim ini tidak akan berubah, jika seseorang kanak-kanak yang dilahirkan awal, dia mungkin terlambat dalam beberapa aspek perkembangan,  tetapi dapat sampai ke peringkat kanak-kanak lain seperti yang sepatutnya. Ini menunjukkan bahawa jangka masa untuk mencapai tingkah laku adalah berbeza-beza mengikut individu tetapi tingkah laku yang dicapai adalah sama urutan tertibnya.

PENUTUP
            Kesimpulannya, persekitaran kanak-kanak dan pembelajaran yang berlaku hasil daripada pengalaman kanak-kanak banyak menentukan sama ada kanak-kanak akan mencapai perkembangan yang optimum ataupun tidak. Sesuatu persekitaran yang memberangsangkan dan memberi pengalaman yang pelbagai akan membenarkan kanak-kanak untuk mengembangkan potensi mereka. Pemahaman tentang prinsip-prinsip perkembangan akan membantu guru-guru merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai dan memberangsangkan serta memberi pengalaman-pengalaman pengayaan untuk kanak-kanak. Ia juga akan memberikan pemahaman asas untuk menggalakkan dan menyokong pembelajaran kanak-kanak.



2 comments: