Thursday 30 August 2012

KONSEP ASAS PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


   
NURHUMAIRAH BT FAKIR
DPLI MATEMATIK SEM 2/2012
IPG KAMPUS TUANKU BAINUN
1.0  PENDAHULUAN

Peristiwa ketika kanak-kanak dan aliran perkembangan pada tahun-tahun yang awal memberikan kesan yang banyak terhadap masa depan kanak-kanak. Guru, tidak kira berapa umur murid-muridnya, akan mendapat faedah sekiranya dia mengkaji kanak-kanak itu pada peringkat formatifnya. Pertama, dia harus berbuat demikian kerana dia akan memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan yang akan datang. Kedua, guru akan hanya dapat memahami seseoarang itu dengan lebih sekiranya dia mengetahui apa yang berlaku sebelumnya dan akhir sekali kerana guru akan pasti bekerja dengan kanak-kanak yang telah terjejas perkembangan awal mereka dan mereka akan memerlukan bantuan mahir dan bimbingan untuk mengatasi masalah mereka.

Zaman kanak-kanak boleh dibahagikan kepada lima peringkat iaitu peringkat bayi merah atau neonatal, bayi, peringkat prasekolah, pertengahan kanak-kanak dan praremaja yang sememangnya membawa kepada remaja. Dalam tugasan ini, pengenalan konsep asas kepada pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak akan dibincangkan. Selain itu, tugasan ini juga akan menghuraikan pengertian pertumbuhan dan perkembangan serta ciri-cirinya. Kanak-kanak mengalami pertumbuhan dan perkembangan berdasarkan beberapa faktor yang mempengaruhinya juga turut dihuraikan dalam tugasan ini.
2.0 KONSEP ASAS PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN 
Pertumbuhan dan perkembangan merupakan dua faktor asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan mengenai kedua-dua faktor ini adalah asas kepada penentuan objektif pendidikan, kepada perancangan kurikulum dan kepada penciptaan teknik mengajar untuk semua pelajar dalam pelbagai peringkat perkembangan. Perkembangan jasmani, mental, emosi dan sosial menjadi asas di mana ciri-ciri tingkah laku individu dibina. Di samping seseorang murid yang membesar itu dibimbing melalui proses pembelajaran, ciri-ciri tingkah laku tadi akhirnya menjadi tingkah laku yang menjadikan orang itu sama dengan atau berlainan daripada orang lain.
Pada masa silam, ramai ahli psikologi telah mempercayai bahawa baka dan alam sekitar itu merupakan faktor yang berasingan, di mana tiap-tiap satunya mempengaruhi personaliti seseorang individu serta kebolehannya untuk mencapai sesuatu dengan caranya tersendiri. Pada masa kini, kita semakin sedar bahawa apa yang difikirkan, dibuat atau dirasakan oleh seseorang itu sebagai seorang kanak-kanak, seorang remaja atau seorang dewasa dalam hasil dari saling hubungan yang wujud di antara faktor warisan biologi dengan pengaruh alam sekitar.
Menurut Crow dan Crow (1983), pertumbuhan merupakan satu kejadian semula jadi manakala arah yang diambil oleh pertumbuhan hasil dari faktor luaran dikatakan sebagai perkembangan. Ini bermakna, pertumbuhan adalah satu proses semula jadi dan perkembangan pula sebagai hasil dari pengaruh keadaan alam sekitar ke atas kanak-kanak semasa ia membesar. Jelaslah bahawa pertumbuhan dan perkembangan merupakan dua proses yang penting kepada individu. Beberapa fakta asas yang telah didapati dan ditafsirkan secara saintifik mengenai pertumbuhan dan perkembangan perlu diketahui dan difahami oleh sesiapa sahaja yang merancang hendak memasuki profesion perguruan.
2.1 PENGERTIAN PERTUMBUHAN
Pertumbuhan bermaksud perubahan yang boleh dinilai atau diukur dari satu peringkat ke peringkat perkembangan yang lain. Ia sebenarnya merupakan suatu proses perubahan yang bersifat kuantitatif, iaitu pertambahan dalam pelbagai sifat luaran seseorang. Contoh yang paling nyata ialah perubahan sifat-sifat jasmani seperti saiz, tinggi dan berat badan. Pertumbuhan melibatkan perubahan-perubahan dari aspek fizikal serta mental dan akan mencapai puncaknya sebaik sahaja seseorang individu itu mencapai kematangan. Dalam kehidupan seseorang, terdapat perubahan yang progresif pada struktur tulang, otot, saraf dan kelenjar. Proses pertumbuhan bagi sesuatu organisma biasanya sudah sedia terancang di dalam gen-gen yang diwarisi oleh sesuatu keturunan.
Karl Garrison berpendapat bahawa pertumbuhan merupakan perkembangan seseorang individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Menurut Atan Long pula, pertumbuhan adalah perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat kepada peringkat yang lain. Kuantiti perubahan tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada pengukuran yang dibuat ke atas organisma hidup dari semasa ke semasa. Proses pertumbuhan sesuatu organisma itu sudah sedia terancang di dalam gen-gen yang diwarisi oleh keturunan. sebagai contoh, ibu bapa yang besar struktur badan biasanya akan mendapat anak-anak yang berstruktur badan besar juga.

2.2 CIRI-CIRI PERTUMBUHAN
Pertumbuhan manusia menonjolkan beberapa ciri yang nyata. Di antara ciri-ciri pertumbuhan yang utama adalah seperti berikut :
     a)  Pertumbuhan ialah suatu proses yang lengkap dan sempurna.
Fenomena pertumbuhan adalah sesuatu keadaan yang bersifat berterusan dan kuantitatif. Perubahan-perubahan yang berlaku dalam proses pertumbuhan ini dapat diukur dan dilihat dengan nyata.   

b)Pertumbuhan manusia mengikut corak tertentu iaitu berdasarkan proses kematangan yang dialami.
Contohnya, apabila seorang bayi dilahirkan, ia tidak boleh duduk. Apabila kematangannya telah tercapai pada bulan yang ketujuh, bayi itu berkeupayaan untuk duduk.
c   c) Struktur mendahului fungsi
Struktur sesuatu kumpulan otot akan menjadi lengkap sebelum digunakan dengan sepenuhnya. Sebagai contoh yang sama, bayi yang berumur tujuh bulan tadi, sudah mempunyai otot-otot yang kuat yang membolehkannya duduk selesa.
  
d) Pertumbuhan manusia mempunyai arah tertentu.
Arah pertumbuhan ini biasanya berdasarkan kepada satu urutan perkembangan umum dan sifat khusus untuk sistem tubuh badan. Contohnya, kanak-kanak akan menjalani sendiri latihan merangkak sebelum ia boleh berjalan.
    e) Setiap kanak-kanak melalui peringkat pertumbuhan yang sama tetapi pada kadar yang berlainan.
Pada dasarnya, corak pertumbuhan adalah unik tetapi pada dasarnya adalah sama.

      f) Pertumbuhan juga ditentukan oleh baka.
Contohnya, tinggi seseorang individu adalah ditentukan oleh bakanya. Walaupun makanan yang dimakan adalah baik dan seimbang, tetapi tinggi seseorang itu tidak dapat ditingkatkan lagi.

h) Kita dapat melihat pertumbuhan pada kanak-kanak melalui pembesaran saiz fizikalnya. Graf 2.2 menunjukkan perubahan tinggi dan berat mebgikut umur dan Rajah 2.2 pula menunjukkan perubahan pertumbuhan tubuh manusia lelaki dan perempuan mengikut peringkat umur tertentu.


Graf 2.2 : Perubahan tinggi dan berat mengikut umur

Rajah 2.2 : Perubahan pertumbuhan dan perkembangan tubuh manusia lelaki dan perempuan mengikut umur
2.3 PENGERTIAN PERKEMBANGAN
Perkembangan merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Perubahan kualitatif ini walaupun tidak dapat diukur tetapi jelas menunjukkan ciri yang berbeza daripada peringkat perkembangan yang lebih awal. Sebagai contoh, bayi yang baru lahir hanya menangis untuk menyuarakan kelaparannya. Apabila ia berumur tiga tahun pula, kanak-kanak itu berupaya menggunakan beberapa perkataan untuk membawa maksud “makanan”. Jelas bahawa kanak-kanak itu tadi telah mengalami perkembangan.
Karl Garrison pula berpendapat bahawa perkembangan itu adalah hasil daripada tindakan yang saling berkait di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan, sama ada berbentuk satu siri tingkah laku ataupun keseluruhan sahsiah adalah mengikut beberapa aturan semula jadi. Secara ringkasnya, perkembangan bolehlah disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait di antara perubahan kuantitatif dan kualitatif yang menuju ke arah tertentu dan yang dijangkakan.
Secara keseluruhannya, perkembangan dapat dirumuskan sebagai satu proses di mana individu itu mencapai kematangan. Ia merupakan perubahan berkualiti iaitu sifat perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi ternyata perubahan telah berlaku dengan mekihat kepada sifat yang berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Ia berbeza dengan pertumbuhan kerana ia berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sehingga tamatnya hayat organisma itu. Ini bermakna bahawa perkembangan bukan sahaja membawakan sesuatu organisma itu ke peringkat matang, tetapi perkembangan berlaku secara berterusan.
2.4 CIRI-CIRI PERKEMBANGAN
    a) Perkembangan fizikal adalah berperaturan dan dapat diramal, baik di dalam peringkat sebelum lahir mahupun pada peringkat sesudah dilahirkan. Ia mempunyai tiga arah tertentu. Arah pertama adalah dari kepala ke kaki yang dikenali sebagai perkembangan “cephalocaudal”. Perkembangan ini berlaku pada peringkat awal umur bayi selepas ia dilahirkan. Ia berlaku terlebih dahulu di bahagian kepala dan menyusur ke bahagian belakang tubuh sehingga ke kaki. Arah kedua adalah dari tengah tubuh ke tepi yang dikenali sebagai perkembangan “proximodistal”. Perkembangan ini berlaku semasa bayi berada di dalam kandungan ibu. Ia mula di bahagian tengah tubuh, membesar ke bahagian luar dan ke penghujung anggota. Dalam masa yang sama ia menjadi memanjang dan berkembang menjadi tangan dan jari. Arah perkembangan yang ketiga ialah “mass to specific”. Ia berlaku secara menyeluruh iaitu dari arah yang tidak menetu ke arah yang tertentu. Arah perkembangan ini berlaku pada peringkat bayi sahaja di mana sesetengahnya di dalam sesuatu tindakan.



Rajah 2.3 : Arahan pertumbuhan dan perkembangan fizikal

b) Semua kanak-kanak mengikut corak perkembangan yang sama iaitu daripada satu peringkat ke peringkat yang seterusnya. Sebagai contoh, kanak-kanak mula menyebut sesuatu perkataan dengan ringkas sebelum boleh menyebut perkataan tersebut dengan tepat.

   c) Perkembangan berlaku secara berperingkat-peringkat, iaitu dari peringkat bayi, peringkat kanak-kanak, peringkat pertengahan kanak-kanak, peringkat awal remaja, peringkat remaja dan sehinggalah peringkat dewasa.
   d) Proses perkembangan bersifat berterusan, bermulanya dari kejadian bayi dalam kandungan sehinggalah ke ajhir hayat iaitu melebihi had kematangan.  Bagaimanapun, kadar perkembangan kanak-kanak mungkin tidak sama seperti kadar perkembangan orang dewasa.
    e) Perkembangan banyak mempengaruhi oleh faktor-faktor baka dan juga persekitaran. Sebagai contoh, kanak-kanak yang selalu tidak bersarapan pagi semasa hendak ke sekolah akan menyebabkan tahap perkembangan mental, emosi serta sosial akan terjejas. Selain faktor makanan, faktor ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan kanak-kanak.
f  f) Perkembangan berlaku mengikut kadar yang berlainan. Perkembangan intelektual kanak-kanak adalah pada kadar yang lebih cepat jika dibandingkan dengan perkembangan fizikal.
   g) Perkembangan bahagian-bahagian anggota tubuh adalah organisma antara satu sama lain dan mempengaruhi keseluruhan organisma. Ia berlaku secara serentak dan seimbang.
3.0 KOMPONEN PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Konsep tumbesaran dan perkembangan boleh dikaji daripada seorang kanak-kanak yang membesar secara fizikal yang juga akan membina kualiti kelakuan dan personalitinya. Ini dapat dikategorikan kepada empat komponen, iaitu :
      a) Perkembangan Fizikal
Ini merujuk kepada tumbesaran saiz badan dan organ-organ fungsi sistem fizikal dan kordinasi kemahiran motor yang halus dan kompleks. Seseorang individu membesar dari keadaan bayi hingga ke keadaan saiz dewasa sebelum mengecut kembali apabila badan mula nelalui proses penuaan.

     b) Perkembangan Kognitif
Ini merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku semasa otak manusia berfungsi. Ini termasuklah persepsi, pembentukan konsep, pemerolehan bahasa, daya ingatan, kebolehan ruang dan kebolehan matematik. Lain-lain aspek perkembangan kognitif ialah kebolehan penghujahan, penaakulan secara rasional untuk penggunaan dalam penyelesaian masalah-masalah logik.

           c) Perkembangan Afektif dan Psikologi
Ini merujuk kepada perkembangan perasan, emosi dan kelakuan individu. Ia melibatkan kebolehan untuk mengetahui diri sendiri dan kebolehan untuk mengurus emosi serta ketrampilan diri.
     d)   Perkembangan Sosial
Ia merujuk kepada kebolehan individu untuk menjalin hubungan dengan orang lain, membentuk persahabatan dan ikatan. Ia melibatkan perubahan-perubahan dan perkembangan yang berlaku pada personaliti dan kemahiran berhubung sesama manusia supaya individu dapat menyesuaikan dan menerima persekitaran sosial di sekelilingnya.

Pemahaman yang jelas tentang definisi tumbesaran dan perkembangan akan membantu guru-guru menyumbang secara positif kepada kemajuan murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

4.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

Dua faktor utama yang mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan adalah keturunan dan persekitaran. Faktor-faktor tersebut diistilahkan sebagai faktor semula jadi dan pemeliharaan. Kedua-duanya iaitu keturunan dan persekitaran adalah penting dalam tumbesaran dan perkembangan seseorang individu. Adalah sukar untuk menentukan yang manakah lebih berpengaruh dan ini terus diperdebatkan ahli-ahli sarjana dan cendekiawan hingga ke hari ini.
Faktor keturunan merupakan faktor semula jadi yang merangkumi pengaruh baka, perbezaan individu, perbezaan mental dan perbezaan emosi. Pengaruh baka (genetik) dalam sel gamet didapati memainkan peranan penting sebagai penentu ciri-ciri anaknya. Pengaruh genetik terhadap perkembangan manusia dapat dilihat berdasarkan perbezaan individu dari segi fizikal, mental dan emosi. Selain itu, perbezaan setiap individu,kecuali sesetengah kanak-kanak kembar mempunyai ciri fizikal yang berbeza sama ada saiz, tinggi, berat badan, warna kulit dan sebagainya.  Ciri-ciri fizikal luaran seperti warna rambut atau organ deria adalah diwarisi daripada gen-gen ibu dan bapa. Perbezaan mental (kognitif) pula menurut kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Sheild (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan intelek yang berbeza dengan rakan sebaya. Manakala, perbezaan emosi seseorang individu juga diwarisi daripada ibu bapa.  Misalnya, jika ibu bapanya mempunyai sikap yang pemarah dan panas baran, mereka akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik.
       Faktor kedua pula dalah faktor persekitaran yang merupakan faktor pemeliharaan di mana selain daripada keluarga, faktor rakan sebaya, jiran, guru sekolah, atau kepercayaan masyarakat juga mempengaruhi sikap setiap individu dalam proses perkembangannya. Keluarga adalah institusi memberi pengaruh yang amat kuat dan utama terhadap proses perkembangan manusia.  Unsur-unsur keluarga ini melibatkan corak kehidupan mereka di rumah, makanan, asuhan dan status ekonomi.   Faktor-faktor inilah yang akan mempengaruhi perbezaan perkembangan setiap individu. Selain itu, guru dan sekolah  turut berperanan dalam perkembangan pelajar dari segi intelek, emosi dan sosialnya.  Guru yang penyayang dan cekap menguruskan aktiviti pengajaran dan pembelajarannya dalam bilik darjah akan melahirkan pelajar yang berilmu, pintar, berakhlak dan bertanggungjawab. Tambahan lagi, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat yang berbeza akan mempengaruhi proses perkembangan kanak-kanak dari aspek sosio emosi, personaliti dan mental.  Misalnya, perbezaan pegangan agama akan membezakan corak hidup dan perlakuan.
Sehubungan dengan itu, murid-murid hendaklah dibahagikan mengikut kumpulan seperti kumpulan cerdas, sederhana dan lemah.  Bagi murid yang lemah mereka hendaklah diberi pendidikan pemulihan, selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

5.0 KESIMPULAN

Zaman kanak-kanak merupakan suatu zaman pertumbuhan dan pembelajaran yang cepat. Dalam beberapa tahun sahaja seseorang individu itu membentuk satu set tingkah laku yang paling kompleks. Dia belajar bercakap, membaca, menulis, bekerjasama, dapat membezakan antara yang betul dengan yang salah dan membuat beribu penyesuaian lain kepada masyarakatnya sendiri. Sememangnya tidak semua kanak-kanak sama kejayaanya dalam menguasai tugas-tugas perkembangan yang diharapkan. Ada kanak-kanak maju dengan cepat dalam sesetengah bidang tetapi lambat dalam bidang yang lain. Guru yang bijak akan menyedari bahawa kanak-kanak biasa tidak sama dari segi kebolehannya dan akan berikhtiar untuk mengubah aktiviti-aktiviti pengajaran bukan hanya kepada setiap kanak-kanak tetapi juga kepada beberapa perkembangannya.
Dari sudut pandangan pendidikan, tidak ada masa yang lebih penting dalam kehidupan seseorang selain zaman kanak-kanak. Guru yang bekerja dengan kanak-kanak pada peringkat ini haruslah memahami kanak-kanak akan keperluan asas mereka, masalah mereka serta kuasa yang mengubah dan menghasilkan perubahan tingkah laku. Pernyataan yang menyatakan bahawa ‘ kanak-kanak ialah bapa kepada manusia’ mempunyai keesahan psikologi. Corak pertumbuhan, pembelajaran dan penyesuaian yang ditetapkan pada masa kanak-kanak menjangkau ke masa hadapan dan mempengaruhi aliran hidup.

Wednesday 29 August 2012

PRINSIP-PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

 
1.0         PENGENALAN
Sifat manusia pada asasnya dikawal dan dipengaruhi oleh tumbesaran dan perkembangan mereka sendiri. Perubahan yang ketara berlaku dalam tumbesaran dan perkembangan sejak kanak-kanak dilahirkan sehinggalah ke zaman remaja. Iaitu ketika umur mereka dalam lingkungan 18 tahun.
        Konsep tumbesaran dan perkembangan boleh dikaji daripada seseorang kanak-kanak yang membesar secara fizikal yang juga akan membina kualiti kelakuan dan personalitinya. Ini dapat dikategorikan kepada empat komponen iaitu perkembangan fizikal, kognitif, afektif dan psikologi serta perkembangan sosial.
        Tumbesaran dapat didefinisikan sebagai perubahan-perubahan fizikal atau perubahan-perubahan kuantitatif yang berlaku di dalam seseorang individu. Contohnya, seseorang individu bertambah besar dari segi saiz dan berat badan dari bayi hingga dewasa.
          Perkembangan pula didefinisikan  sebagai perubahan berterusan yang berlaku dalam pola kelakuan, kebolehan mental dan personality seseorang individu hingga matang. Perubahan-perubahan ini adalah kualitatif, melibatkan kecerdasan, kemahiran dan sikap yang berlaku secara progresif di dalam seseorang individu. Contohnya, seiring dengan tumbesaran otak, kebolehan mental semakin berkembang.
           Maka terdapat ciri-ciri atau prinsip-prinsip tertentu yang menentukan tumbesaran dan perkembangan. Pemahaman terhadap prinsip-prinsip yang akan saya jelaskan lebih terperinci di bawah nanti dapat membantu guru-guru menangani kelakuan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

PRINSIP-PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

Bercakap sahaja mengenai pertumbuhan dan perkembangan ramai lagi ibu bapa yang masih keliru tentang perbezaan kedua-dua prinsip ini. Sebenarnya, kebanyakan kanak-kanak di Malaysia yang normal bertumbuh dan berkembang berdasarkan prinsip-prinsip dan ciri-ciri yang sejagat (serupa). Walaubagaimanapun akan terdapat perbezaan di antara individu-individu dalam personaliti, tahap aktiviti dan masa pertumbuhan dan perkembangan. Oleh yang demikian, beberapa ahli psikologi pendidikan telahpun mengenal pasti prinsip-prinsip pertumbuhan dan perkembangan. Dalam huraian seterusnya saya akan menerangkan lebih lanjut tujuh  prinsip-prinsip utama pertumbuhan dan perkembangan mengikut pendapat ahli psikologi Ruffin (2001) yang berguna kepada guru-guru. 
 
1 Prinsip pertama, perkembangan kanak-kanak berlangsung dari kepala ke bawah (dari atas ke bawah)  ’ cephalocaudal’.
Ini bermaksud kanak-kanak pada dasarnya akan mula mengawal diri mulai dengan kawalan di bahagian kepala. Kepala kanak-kanak kecil biasanya berat kerana perkembangan sudah banyak berlaku di bahagian kepala dibandingkan dengan bahagian lain misalnya, bahagian kaki. Ini kerana apabila kanak-kanak ditiarapkan, dia hanya dapat mengangkat dadanya apabila ia dapat mengangkat kepalanya. Kemudian kawalan di bahagian tangan di mana mereka mempelajari  untuk memegang objek-objek. Kemudian mereka akan membina kekuatan dan kawalan pada bahagian kaki dan bermula untuk merangkak, berdiri dan berjalan. 
  
Rajah 1: Perkembangan kanak-kanak berlangsung dari kepala ke bawah (dari atas ke bawah)  ’ cephalocaudal’.

Prinsip kedua, perkembangan kanak-kanak berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar (tengah ke tepi) ‘proximodistal ‘ dan hingga ke hujung anggota.
Saraf tunjang berkembang dahulu daripada bahagian-bahagian badan yang lain. Sewaktu di dalam kandungan, iaitu ketika bahagian kepala dan badan sudah dikatakan cukup terbentuk, bahagian anggota kaki dan tangan hanya merupakan puntung-puntung yang belum tumbuh. Secara beransur-ansur, puntung tangan ini akan memanjang dan berkembang menjadi tangan dan jari. Contohnya, bahagian lengan kanak-kanak berkembang dahulu daripada bahagian telapak tangan dan bahagian tangan dan kaki  berkembang dahulu daripada jari-jari tangan dan kaki.


Rajah 2: Perkembangan kanak-kanak berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar (tengah ke tepi) ‘proximodistal ‘ dan hingga ke hujung anggota.

3 Prinsip ketiga, perkembangan kanak-kanak bergantung kepada kematangan dan pembelajaran yang ada dipersekitaran mereka.
Kanak-kanak akan bertambah baik dalam pemikiran (kognitif) dan kemahiran psikomotor (fizikal) mereka apabila otak dan sistem saraf berkembang dengan pembelajaran baru yang berterusan daripada persekitaran. Kanak-kanak mesti matang ke satu tahap tertentu sebelum mereka dapat memperoleh kemahiran baru. Contohnya, seorang bayi empat bulan tidak boleh berbahasa kerana sel-sel otak bayi untuk bahasa belum matang lagi.
            Kematangan di sini merujuk kepada apa-apa sahaja perubahan yang berlaku dengan perubahan umur yang bergantung pada tumbesaran fizikal. Pola kematangan telah terprogram oleh keturunan, urutan perubahan badan adalah seragam di antara individu-individu walaubagaimnapun, terdapat perbezaan dalam kadar perubahan. Kematangan bebas daripada faktor-faktor lain, dan ia menyebabkan perubahan fizikal seperti baligh, putus haid, keguguran rambut dan kebotakan.

Rajah 3: Perkembangan kanak-kanak bergantung kepada kematangan dan pembelajaran yang ada dipersekitaran mereka.

4 Prinsip keempat, perkembangan kanak-kanak berlangsung daripada mudah (konkrit) kepada yang lebih kompleks.
Kanak-kanak hanya boleh memahami contoh-contoh konkrit (barang maujud) semasa awal kanak-kanak. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang abstrak dan kompleks apabila mencapai zaman keremajaan. Kanak-kanak menggunakan kemahiran kognitif dan bahasa yang mudah dalam zaman awal kanak-kanak untuk memberi sebab-musabab dan menyelesaikan masalah. Selepas itu, kuasa penghujahan mereka bertambah baik kerana ketika itu mereka sudah boleh membezakan dan mengklasifikasikan objek-objek.

Rajah 4: Perkembangan kanak-kanak berlangsung daripada mudah (konkrit) kepada yang lebih kompleks.

5 Prinsip kelima, tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berterusan.
Kanak-kanak membina pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru berdasarkan apa yang mereka telah ketahui atau peroleh, iaitu berdasarkan pengetahuan yang lalu. Seperti blok binaan, kanak-kanak membina dan mengumpul pengetahuan beransur-ansur, sedikit demi sedikit. Contohnya, di dalam permainan badminton, seseorang murid yang tidak pandai melakukan servis dengan, tetapi apabila dia belajar daripada guru dan rakan-rakannya akhirnya dapat juga menguasai kemahiran tersebut walaupun mengambil masa yang lama untuk menguasai kemahiran tersebut.

Rajah 5: Tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak adalah satu proses yang berterusan.

Semua kanak-kanak mengikut pola perkembangan yang serupa. Satu peringkat perkembangan menjadi asas kepada peringkat perkembangan yang seterusnya. Contohnya, kanak-kanak mesti sudah pandai mengawal pergerakan tangan untuk memegang pensil atau krayon sebelum mereka dapat melukis atau menulis.
  
            Rajah 6: kanak-kanak belajar memegang pen dan mewarna

6 Prinsip keenam, tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak berlangsung daripada umum ke spesifik (khusus).
Dalam perkembangan motor, kanak-kanak mestilah sudah boleh mengenggam objek dengan keseluruhan tangan (psikomotor kasar) baharulah mereka boleh belajar menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sahaja (psikomotor halus). Tumbesaran berlaku daripada pergerakan otot besar kepada pergerakan otot yang lebih seni (kecil).
Contohnya, jika seseorang bayi cuba mengambil sesuatu benda, hampir seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangannya kerana jarinya masih belum dapat digunakan. Selepas besar, pergerakan bagi mengambil sesuatu benda hanya memerlukan jari sahaja tanpa menggerakkan sebahagian besar badannya.

Rajah 7: Kanak-kanak menggunakan kemahiran psikomotor kasar dan seterusnya psikomotor halus.

Contoh perkembangan yang lain pula apabila bayi menangis kemudiannya berfokus kepada sebab yang khusus seperti menangis kerana lapar, kerana lampin basah atau ketidakselesaan fizikal.

7 Prinsip yang terakhir yang ketujuh adalah kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan kadar tumbesaran mereka juga adalah berbeza-beza. Walaupun pola,  urutan tumbesaran dan perkembangan adalah serupa bagi semua kanak-kanak, tetapi kadar pencapaian peringkat tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza. Terdapat satu julat umur bagi setiap tugas perkembangan untuk berlaku. Walau bagaimanapun, ianya tidak seragam di dalam diri seseorang individu kanak-kanak.


Bil.
Peringkat
Umur
1.
Peringkat Pralahir
Dalam kandungan hingga lahir
2.
Peringkat Bayi
0-2 tahun
3.
Peringkat awal kanak-kanak
2-4 tahun
4.
Peringkat pra sekolah
4-6 tahun
5.
Peringkat kanak-kanak  
pertengahan
6-12 tahun
6.
Peringkat awal remaja
12-15 tahun
7.
Peringkat remaja pertengahan
dan akhir
15-22 tahun
8.
Peringkat dewasa awal
21-34 tahun
9.
Peringkat dewasa pertengahan
34-59 tahun
10.
Peringkat dewasa akhir
60- 75 tahun
11
Peringkat tua
75 tahun ke atas
Menurut Newman, PR. Dan Newman BM. 1997 tahap perkembangan manusia bermula dari pralahir hingga mati.

Contoh 1, Perkembangan intelek seseorang kanak-kanak mungkin maju lebih cepat daripada perkembangan emosi dan sosialnya. Iaitu ada segelintir kanak-kanak suka membaca buku daripada bermain bersama kawan-kawan seumurnya.
 
Contoh 2, Tingkah laku kanak-kanak yang berumur 7-12 bulan akan mencapai kebolehan merangkak, duduk, berdiri, bertatih dan berjalan.

 
Irfan    = Boleh merangkak               Bertatih                Berjalan
                        (7 bulan)                    (9 bulan)                   (12 bulan)

Iffah    = Boleh merangkak               Bertatih                Berjalan
                        (8 bulan)                    (10 bulan)                 (13 bulan)

 
Ini bermakna corak perkembangan bayi adalah sama daripada satu peringkat ke peringkat yang lain. Sebelum berjalan, lazimnya seorang kanak-kanak berdiri atau mula belajar bertatih terlebih dahulu. Corak yang lazim ini tidak akan berubah, jika seseorang kanak-kanak yang dilahirkan awal, dia mungkin terlambat dalam beberapa aspek perkembangan,  tetapi dapat sampai ke peringkat kanak-kanak lain seperti yang sepatutnya. Ini menunjukkan bahawa jangka masa untuk mencapai tingkah laku adalah berbeza-beza mengikut individu tetapi tingkah laku yang dicapai adalah sama urutan tertibnya.

PENUTUP
            Kesimpulannya, persekitaran kanak-kanak dan pembelajaran yang berlaku hasil daripada pengalaman kanak-kanak banyak menentukan sama ada kanak-kanak akan mencapai perkembangan yang optimum ataupun tidak. Sesuatu persekitaran yang memberangsangkan dan memberi pengalaman yang pelbagai akan membenarkan kanak-kanak untuk mengembangkan potensi mereka. Pemahaman tentang prinsip-prinsip perkembangan akan membantu guru-guru merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai dan memberangsangkan serta memberi pengalaman-pengalaman pengayaan untuk kanak-kanak. Ia juga akan memberikan pemahaman asas untuk menggalakkan dan menyokong pembelajaran kanak-kanak.